Sunday, July 17, 2011

resipi: kerabu perut

masak kerabu perut sangatlah senang. dan yang ni cara akulah.

bahan-bahan:

perut 300 gram direbus
kacang panjang 7-8 helai
bawang besar 3 biji
ikan bilis 100 gram digoreng dan ditumbuk
sedikit santan segar
limau kasturi 5-8 biji
lobak merah sebatang
satu camca garam
dua camca gula

lepas dah sedia ada bahan-bahan diatas, campur gaulkan. selalunya orang akan letak hirisan serai dengan daun limau (nak bagi wangi), tapi aku mabuk bila ada serai. entahnya. haha. ini gambar kerabu perut. 


sebenarnya kerabu ni senang je buatnya. letak ajalah apa-apa daun atau kekacang pun, potong hiris-hiris. kalau nak tambah lauk atau ganti lauk lain, boleh je guna sotong, udang, kerang, atau apa-apa saja untuk menyedapkan lagi kerabu. makan nasi dengan kerabu saja dah cukup. semua lauk dah ada sekaligus. orang bujang sesuai lah nak buat kerabu ni. tak perlukan masa yang lama nak masak. kalau dihidang pada bakal mak mentua pun boleh.

selamat mencuba!

Saturday, July 16, 2011

kenapa aku memilih kamu

wahai kamu,
sebenarnya tiada sebab-sebab tertentu yang memaksa aku berfikir untuk menulis ini. akan tetapi lantaran hati yang terlampau rindu padamu, lalu aku coretkan sesuatu agar hati tak bisa luka dimamah masa.

kamu, entah mengapa aku memilihmu. satu sebab yang pasti, aku mahu kamu menjadi imamku dan imam anak-anakku nanti. aku percaya kamu boleh aku jadikan pendamping hidup, agar aku tidak tersasar dari landasannya. aku percaya...

kamu akan menggerakkan aku, tatkala aku hanyut dalam tidur;
kamu akan sedarkan aku, tatkala aku leka dibuai dunia;
kamu akan menjaga aku, tatkala aku sakit keperitan;
kamu akan tersenyum melihatku, tatkala aku dicuit bahagia.

aku tahu kamu takkan mampu beri sepenuh kebahagiaan seluruh hidupku. hakikatnya, diri ini mahu disayangi. didampingi oleh lelaki sepertimu kerana aku lemah. kamu juga tahu bagaimana goyahnya imanku. bukan mudah untuk aku mengawal diri dari kamu. justeru aku dan kamu memilih jalan ini; yakni jalan yang memisahkan jasad, akan tetapi nadi sentiasa ingin berdegup keranamu. aku percaya kelak jua kita akan bertemu semula, disatukan dengan izin-Nya. jika kamu bukan orangnya, aku pasti Tuhan itu telah meletakkan keadaan aku pada yang adil-Nya. mungkin aku tidak setaraf kamu. lalu kamu diganti. dan aku akan pasrah.

dan yang pasti, aku akan tetap menunggumu, tetapi bila tiba suatu saat yang memaksaku memilih jalan lain, aku akan cuba lupakanmu. barangkali itulah kesakitan paling perit yang mungkin terasa jika benar-benar terjadi.

benar aku sayang kamu. izinkan aku berkata aku sesungguhnya banyak menyimpan angan tentang kita. tidak perlu kamu tahu apa anganku itu. cuma satu yang aku harap, moga angan itu tidak memakan diriku andai diri tidak dapat memilikimu.

sesungguhnya hati rindu ini tak mampu mencapaimu. aku sedih. maafkan aku.
namun dicelah hati aku tetap mengharap kamu juga merasa sepertiku.

Tuesday, July 12, 2011

Wednesday, July 6, 2011

gangguan buku biru

Dia baru sahaja mengemaskini blog. Dibetul-betulkan kedudukannya di atas kerusi itu. Kemudian diregang-regangkan badan. Terkeluar sedikit suara-suara kecil dari mulutnya. Lalu buku biru itu dibuka. Log masuk. Itulah pilihan terakhirnya untuk mengelakkan diri dari berteriak ‘BOSAN’ kuat-kuat, dikuatiri nanti terbangun pula adik bongsunya yang telahpun tidur nyenyak itu.

Paparan dinding dibuka. Selalunya banyak cerita malam minggu ini. Jari tunjuk pada tetikus itu giat memutar roda tengah untuk pergi ke bawah. Matanya tertancap pada gambar yang baru dimuatnaik oleh kawan perempuannya setengah jam lepas. Kawannya itu tak adalah rapat sangat. Kenal pun lebih kurang sahaja. Hati berkata mahu lihat. Ditekannya pada gambar itu. Oh. Memang ramai betul yang suka gambar dia ni. Setiap kali perempuan tu muat naik gambar, tak sampai sejam sahaja mesti dah ada dua puluh orang yang suka. Komen berjela-jela pula tu. Ah. Naik meluatlah dia. Apa guna muka cantik tapi pertayangkan pada orang ramai? Lepas tu berbangga pula bergambar dengan gajet-gajet mahal. Dia memang tak berapa suka memuat naik gambar dekat buku biru tu. Tak mahulah riak berbisik dalam hati bila sang manusia memujinya. Lantaklah apa orang nak mengata tentang dia.

Lalu dia pangkah paparan gambar perempuan itu. Jari telunjuknya bekerja lagi. Kali ni ternampak pula gambar duit. Biasalah, manusia zaman sekarang semua nak duit ekspres. Gambar-gambar itu menayangkan aksi seperti baring-baring dengan duit, cium duit, susun duit macam kipas, ahh. Mengarut semua duit tu. Kalau betul kau kaya sangat, tak perlu buat aksi bodoh dengan duit tu. Riak tahu? Hngghhh. Orang kaya dalam dunia pun tak ada nak tayang duit. Nak duit kena kerja keras. Bukan senang nak senang.

Tiba-tiba muncul warna merah pada sebelah kiri paparan. Ditekannya butang itu. Rupanya mesej dari kawannya. Bertanya khabar. Dan bertanya juga, mengapa ditutup dinding? Susah pula dia nak conteng. Akan tetapi, mudah sahaja jawapan yang diberi. Privasi. Kawannya pula berkata, yalah. Dekat mesej pun boleh tegur kau kan. Dia hanya tersenyum. Balasan kawannya itu cuma dibalas dengan emotikon senyum. Malas mahu taip barangkali.

Keluar semula pada dinding. Contengan manusia memang takkan pernah berhenti. Ada sahaja cerita baru. Tiga minit lalu, ada satu status berbunyi agak bising. Cukuplah sahaja dengan gelak besar dan kata-kata cinta yang ditujukan pada kekasihnya. Setiap hari mesti ada status macam ini dari dia. Belum jadi suami lagi, tapi lagaknya macam dah kahwin. Bercinta pun belum sampai setahun. Siap kata rindu, sayang, cinta. Ramai pula yang suka. Huh. Status itu cukup mencacatkan matanya. Macamlah kau seorang saja yang bercinta dalam dunia ni perempuan! Cukuplah kau buat status macam ni. Dalam hati ada juga berkira-kira mahu tutup sahaja buku biru ni. Tak adalah nak mengeji dalam hati sana sini. Dosa juga kan.

Tiba-tiba tergerak hati dia nak buka profil seorang ni. Lama tak dengar cerita dia. Ditaip namanya di petak ‘cari’. Lalu keluarlah paparan muka profilnya dengan gambar kacaknya di sebelah kiri. Oh! Lihat pula pada koleksi gambar. Tak adalah banyak mana gambarnya, tetapi nyata disebalik gambar-gambar itu terdapat beberapa komen dari rakan baiknya mengatakan tentang ‘seseorang yang istimewa’. Ah sudah. Dia dah berpunya ke? Dia membetul-betulkan alat dengar pada telinga yang sedang memainkan lagu  Afraid Of Love nyanyian J Rice. Kemudian mata beralih semula pada paparan skrin. Semakin lama semakin rasa yang dalam hatinya mula terasa bibit-bibit cemburu. Kalau aku cemburu pun, apa yang aku dapat kan? Macam la kalau aku suka dia, lepas tu beritahu dia dan boleh kahwin? Semua ni mainan perasaan saja. bukan aku tak mahu bercinta. Cuma sekarang bukan waktu yang sesuai. Tuhan saja yang tahu. Sudahlah semua ni lagha! Dipangkah tab profil lelaki itu dan berbalik semula pada dinding cerita yang tanpa henti.

Sambil-sambil dia menggerakkan roda tengah tetikus, dalam akal tetap memproses maklumat yang ada. Rata-rata dalam bilangan kawannya yang hampir mencecah 750 orang itu kebanyakkannya ibarat ahli politik, pengulas sukan, doktor cinta, ustaz ustazah, promoter sepenuh masa, komposer muzik, dan ada juga yang hanya menjadi tukang suka status. Mengipas punggung orang yang ibarat artis, mahu tumpang popular. Oh, di buku biru ni siapa pun boleh jadi artis, asalkan kau ada rupa dan pandai bergaya. Kalau kau setakat manusia sederhana, orang pun fikir 139 kali nak suka gambar dan status kau.

Jam menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah malam. Tapi mata masih belum mengantuk. Apa mahu buat? Lalu dia berbaring di atas katil. Dalam diam dia sedar juga hakikat memiliki buku biru ni. Perlu banyak bersabar. Nak buat macam mana kan, nak salahkan orang lain pun tak boleh. Itu hak mereka mahu menyuarakan apa saja. Sememangnya dia tak layak menghina mencaci. Kerana mungkin juga ada insan yang berfikiran sedemikian sepertinya, dan dia pun tidak mahulah jika orang lain beranggapan dia juga menjengkelkan di buku biru itu. Pendek kata, tak semua hati orang dia boleh jaga. Itulah sebab dia begitu jarang buka buku biru. Sebab buka buku biru yang disertai cacian dalam hati pun sebenarnya menyakitkan hati sendiri juga.

Dia pun log keluar dari paparan itu. Cukuplah untuk hari ini. Hawa dingin dipasang, lampu ditutup dan kain selimut ditarik.

Tuesday, July 5, 2011

'pop fiksi'

Aku baru diperkenalkan tentang 'pop fiksi' ni oleh rakan ZineSatuMalam semalam. Rasanya ramai kot yang tak tahu tentang benda ni. Baiklah, apa yang aku boleh faham tentang 'pop fiksi' ni ialah:

  1. sebuah cerita ringkas dan padat
  2. mengandungi unsur penerangan yang jelas tentang sesebuah objek dan keadaan
  3. tak semestinya ada pendahuluan, klimaks atau penutup cerita
  4. tak kisahlah kalau cerita itu cerita sebenar (realiti) atau rekaan semata-mata
  5. cerita tu boleh jadi ada unsur merapu dan fantasi, tetapi disampaikan dengan cara yang difahami
  6. aku perasan juga jenis macam ni tak ada dialog. dialognya semua diterjemah dalam ayat
  7. cerita juga boleh tergantung sekerat jalan. tapi bukan tergantung tiba-tiba. tergantung yang membawa maksud lah.
  8. stail penulisan: ikut masing-masing punya cara. kalau aku punya cara agak skema lah. hehe.

contoh: boleh rujuk sini dan sini juga.

Setelah diberi penerangan dan memahami serba sedikit, semalam aku pun cuba la mengarang satu perenggan...



Tanganku digenggam erat. Jari-jemari dirapatkan. Diciumnya. Halus mulus dan beraroma minyak wangi Pleasure dari Estee Lauder. Dilepaskan genggaman. Bertanya dia padaku adakah aku sudah berpunya. Ah. Aku harus berkata apa. Mahu menipu atau berterus-terang sahaja? Sudah. Pandangan beralih kepada seorang kanak-kanak kecil memakai gaun merah pendek yang berlari dikejar ibunya. Barangkali mengambil barang di kedai lalu dibawa lari. Comel budak kecil itu, getusku dalam hati. Soalan yang masih tak terjawab itu kubiarkan. Lara dalam hati siapa tahu. Dia merenung mataku dengan seribu pertanyaan. Mungkin dia hairan mengapa aku biarkan sahaja dia rangkul dan peluk aku dan mengapa pula soalan yang semudah ABC itu tidak dapat ku jawab. Memori 2005 terlintas apabila kelihatan sepasang manusia melintasi hadapanku. Seorang lelaki dan seorang wanita bunting. Dalam kesejukan malam aku dihanyutkan dengan cerita lama. Cerita aku dan kau. Cerita yang tak ingin aku buka lagi sebenarnya. Terlalu banyak rahsia antara kita. Rahsia yang mampu buat kau jerit dan tampar aku sepuas hati jika diungkit semula.


tips:  Masa nak mulakan mengarang tu, cuba bayangkan dalam situasi tu. Dan amati perilaku/keadaan sekeliling. Boleh jadi cerita ni masa kita nak pergi angkat kain, lepas tu nampak sekumpulan warga bangladesh, kita pun segan, lepas tu terbayang orang bangladesh suka pergi pasar malam beli ayam hidup, lepas tu bla bla bla...


Malam ni mungkin ada tajuk zine pasal 'pop fiksi' ni. jadi aku pun nak memerah otak berimaginasi.

imaginasi
Ha. Bak kata spongebob, "imaginaaaatiooonnn...." kalau spongebob dengan patrick pun boleh berimaginasi dalam kotak televisyen, kenapa kita tak boleh kan? Haha. Ok. Selamat berimaginasi!