Dia baru sahaja mengemaskini blog. Dibetul-betulkan kedudukannya di atas kerusi itu. Kemudian diregang-regangkan badan. Terkeluar sedikit suara-suara kecil dari mulutnya. Lalu buku biru itu dibuka. Log masuk. Itulah pilihan terakhirnya untuk mengelakkan diri dari berteriak ‘BOSAN’ kuat-kuat, dikuatiri nanti terbangun pula adik bongsunya yang telahpun tidur nyenyak itu.
Paparan dinding dibuka. Selalunya banyak cerita malam minggu ini. Jari tunjuk pada tetikus itu giat memutar roda tengah untuk pergi ke bawah. Matanya tertancap pada gambar yang baru dimuatnaik oleh kawan perempuannya setengah jam lepas. Kawannya itu tak adalah rapat sangat. Kenal pun lebih kurang sahaja. Hati berkata mahu lihat. Ditekannya pada gambar itu. Oh. Memang ramai betul yang suka gambar dia ni. Setiap kali perempuan tu muat naik gambar, tak sampai sejam sahaja mesti dah ada dua puluh orang yang suka. Komen berjela-jela pula tu. Ah. Naik meluatlah dia. Apa guna muka cantik tapi pertayangkan pada orang ramai? Lepas tu berbangga pula bergambar dengan gajet-gajet mahal. Dia memang tak berapa suka memuat naik gambar dekat buku biru tu. Tak mahulah riak berbisik dalam hati bila sang manusia memujinya. Lantaklah apa orang nak mengata tentang dia.
Lalu dia pangkah paparan gambar perempuan itu. Jari telunjuknya bekerja lagi. Kali ni ternampak pula gambar duit. Biasalah, manusia zaman sekarang semua nak duit ekspres. Gambar-gambar itu menayangkan aksi seperti baring-baring dengan duit, cium duit, susun duit macam kipas, ahh. Mengarut semua duit tu. Kalau betul kau kaya sangat, tak perlu buat aksi bodoh dengan duit tu. Riak tahu? Hngghhh. Orang kaya dalam dunia pun tak ada nak tayang duit. Nak duit kena kerja keras. Bukan senang nak senang.
Tiba-tiba muncul warna merah pada sebelah kiri paparan. Ditekannya butang itu. Rupanya mesej dari kawannya. Bertanya khabar. Dan bertanya juga, mengapa ditutup dinding? Susah pula dia nak conteng. Akan tetapi, mudah sahaja jawapan yang diberi. Privasi. Kawannya pula berkata, yalah. Dekat mesej pun boleh tegur kau kan. Dia hanya tersenyum. Balasan kawannya itu cuma dibalas dengan emotikon senyum. Malas mahu taip barangkali.
Keluar semula pada dinding. Contengan manusia memang takkan pernah berhenti. Ada sahaja cerita baru. Tiga minit lalu, ada satu status berbunyi agak bising. Cukuplah sahaja dengan gelak besar dan kata-kata cinta yang ditujukan pada kekasihnya. Setiap hari mesti ada status macam ini dari dia. Belum jadi suami lagi, tapi lagaknya macam dah kahwin. Bercinta pun belum sampai setahun. Siap kata rindu, sayang, cinta. Ramai pula yang suka. Huh. Status itu cukup mencacatkan matanya. Macamlah kau seorang saja yang bercinta dalam dunia ni perempuan! Cukuplah kau buat status macam ni. Dalam hati ada juga berkira-kira mahu tutup sahaja buku biru ni. Tak adalah nak mengeji dalam hati sana sini. Dosa juga kan.
Tiba-tiba tergerak hati dia nak buka profil seorang ni. Lama tak dengar cerita dia. Ditaip namanya di petak ‘cari’. Lalu keluarlah paparan muka profilnya dengan gambar kacaknya di sebelah kiri. Oh! Lihat pula pada koleksi gambar. Tak adalah banyak mana gambarnya, tetapi nyata disebalik gambar-gambar itu terdapat beberapa komen dari rakan baiknya mengatakan tentang ‘seseorang yang istimewa’. Ah sudah. Dia dah berpunya ke? Dia membetul-betulkan alat dengar pada telinga yang sedang memainkan lagu Afraid Of Love nyanyian J Rice. Kemudian mata beralih semula pada paparan skrin. Semakin lama semakin rasa yang dalam hatinya mula terasa bibit-bibit cemburu. Kalau aku cemburu pun, apa yang aku dapat kan? Macam la kalau aku suka dia, lepas tu beritahu dia dan boleh kahwin? Semua ni mainan perasaan saja. bukan aku tak mahu bercinta. Cuma sekarang bukan waktu yang sesuai. Tuhan saja yang tahu. Sudahlah semua ni lagha! Dipangkah tab profil lelaki itu dan berbalik semula pada dinding cerita yang tanpa henti.
Sambil-sambil dia menggerakkan roda tengah tetikus, dalam akal tetap memproses maklumat yang ada. Rata-rata dalam bilangan kawannya yang hampir mencecah 750 orang itu kebanyakkannya ibarat ahli politik, pengulas sukan, doktor cinta, ustaz ustazah, promoter sepenuh masa, komposer muzik, dan ada juga yang hanya menjadi tukang suka status. Mengipas punggung orang yang ibarat artis, mahu tumpang popular. Oh, di buku biru ni siapa pun boleh jadi artis, asalkan kau ada rupa dan pandai bergaya. Kalau kau setakat manusia sederhana, orang pun fikir 139 kali nak suka gambar dan status kau.
Jam menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah malam. Tapi mata masih belum mengantuk. Apa mahu buat? Lalu dia berbaring di atas katil. Dalam diam dia sedar juga hakikat memiliki buku biru ni. Perlu banyak bersabar. Nak buat macam mana kan, nak salahkan orang lain pun tak boleh. Itu hak mereka mahu menyuarakan apa saja. Sememangnya dia tak layak menghina mencaci. Kerana mungkin juga ada insan yang berfikiran sedemikian sepertinya, dan dia pun tidak mahulah jika orang lain beranggapan dia juga menjengkelkan di buku biru itu. Pendek kata, tak semua hati orang dia boleh jaga. Itulah sebab dia begitu jarang buka buku biru. Sebab buka buku biru yang disertai cacian dalam hati pun sebenarnya menyakitkan hati sendiri juga.
Dia pun log keluar dari paparan itu. Cukuplah untuk hari ini. Hawa dingin dipasang, lampu ditutup dan kain selimut ditarik.
kau ada bakat penulisan..
ReplyDeletesab buenoo like this.
ReplyDelete@luc: tengs luc. mahu perbaiki lagi kosa kata. minta tunjuk ajar juga :)
ReplyDelete@sab: hehe. sab. nak baca blog sab?