Friday, May 24, 2013

19 & 20 Mei 2013. 36 jam. Hari Yang Terlalu Panjang.



20 Mei adalah hari portfolio untuk kami-kami pelajar arsitektur. Semalaman tidak tidur, lebih dari 36 jam, dan macam-macam yang berlaku. Jika kamu membaca ini, moga kamu akan lapangkan fikiran. Jika kamu mahu terasa, terpulanglah. Ini cuma luahan yang terlalu jujur, datangnya dari dalam hati dan pemikiran aku.

Bergelut dengan emosi dan desakan kerja dalam satu waktu yang sama sangatlah menduga aku untuk menjadi lebih bertabah. Lelaki, kau takkan dapat memahami bagaimana aku harus mengasingkan soal hati dengan kisah silam aku. Semua bagaikan rangkuman yang membentuk sebuah jalan cerita yang aku kira, apa yang telah menjadikan diri aku sekarang. Aku yang lebih berhati-hati. Tidak cemerkap lagi. Kerana aku tak sanggup terus-terusan dilukai lagi.

Ini adalah tentang dua cerita. Cerita yang lain-lain, tapi aku kira intipatinya tidak jauh bezanya.

Pertamanya, untuk kamu berdua, maafkan aku kerana aku tak mampu berubah seperti yang kalian mahukan. Sepatutnya aku tidak perlu meminta maaf. Tapi ya, maafkanlah aku jika itu yang membikinmu rasa kecewa. Aku tak pernah meminta semua ini terjadi di saat kita mulai mengenali satu sama lain, namun, tahukah kalian betapa hatiku bergolak disebabkan kalian?

Kisah kalian datang sekaligus pada pertengahan Mei ini. Kebenaran yang aku cari itu tiba-tiba muncul dengan segera, dan tak dapat aku tahankan semua. Ini tentunya rancangan Tuhan untukku. Aku pasti. Dia telah aturkan segalanya. Dan perancangan-Nya adalah yang terbaik. Aku masih percaya itu. Kebenarannya, ialah mengungkapkan segala kesamaran yang terkabur dan terlindung. Hijab telah terbuka luas untukku menilai apa yang terbaik buatku. Lantas keputusan telahpun kuputuskan.

Aku masih tak mengerti mengapa perlunya aku berubah demi seorang lelaki. Aku perlukan penjelasan dalam hal ini. Kalian sama sahaja. Tentunya aku punya alasanku sendiri. Bukan aku tak ingin berubah, tapi jika kamu ingin aku berubah untuk menjadi perempuan yang sempurna pada mata kamu, bagaimana jika suatu hari nanti aku sudah tidak mampu berubah lagi? Pada hemat aku, mengubah diri seorang insan adalah satu perkara yang kau tak boleh paksakan mengikut kehendak diri kamu pada dia yang masih lagi tidak berhak ke atas kamu. Kerana perubahan tak boleh terjadi dalam keterpaksaan. Aku pernah berubah. Banyak. Tapi aku tak perlukan satu arahan yang khusus untuk berubah. Kerana aku sendiri akan berubah, jika sesuatu yang dapat aku garap itu sampai ke hati dan pemikiran yang waras. Dan jika mahu aku berubah menjadi apa yang kamu suka, fikirkan betapa kasihannya aku. Aku bukan boneka.

"Apakah aku
Hanya boneka yang sering engkau mainkan
Yang dikawal oleh jari-jarimu
Ku punya hati dan perasaan
Pernahkah engkau fikirkan
Cukup-cukuplah oh cukuplah..."

       
             -Lagu Untukmu, Meet Uncle Hussein

Wahai H,

20 Mei menjadi pertemuan setelah lama aku mencari kebenaran. Terima kasih atas ajakan kamu yang aku fikir pada mulanya adalah untuk sebab yang lain (untuk menjernihkan keadaan semula), mungkin aku terlalu yakin. Keyakinan tak bertempat. Haha. Tak mengapa. Inilah yang aku mahukan sejak dua tahun yang lalu. Kita telah buat pengakuan yang jelas. Segalanya telah membuntangkan mataku yang selama ini aku kaburkan demi menjaga perasaan sendiri. Benarlah telahan aku. Aku tak pernah salah dalam meneka hubungan kalian. Dan betapa aku lihat kebencian dalam mata kawan-kawanmu terhadap aku. Dan betapa kamu pentingkan diri sendiri. Betapa kamu melihat aku sebagai satu objek yang kamu labelkan sebagai ******. Oh. Kecewanya. Sebab aku sedih, tak pernah sangka yang aku hanyalah itu pada kamu. Aku bukanlah calon isteri terbaik seperti yang kau pernah katakan dahulu.

Kenudian aku cukup marah tempohari untuk melihat kau melayani aku terlalu mesra sehinggakan aku terdetik sekelumit dalam hati, tentang perasaan yang tidak pernah pasti. Bangang. Aku tak mahu dilayan sebegini rupa. Dan aku jelaskan, kita hanyalah masa silam. Jika kau mengajak aku keluar, hanya sekadar ingin menemani engkau apabila engkau tidak punya teman, moga pada lain kali kau fikirlah sebelum bertanya pada aku. Kerana kita punya cerita lama yang berbekas. Dan jika kau tak mahu/tidak punya niat untuk menyambung kembali cerita lama yang telahpun terhenti sejak 2011 dulu, jangan cari aku lagi. Aku merayu. Tinggalkan aku sepenuhnya. Jangan cuba untuk tegur aku lagi. Jangan mesej aku lagi. Jangan pernah melayani aku seolah-olah pengharapan itu masih ada. Aku tak mahu mempunyai rasa dipergunakan. Aku mahu pergi jauh-jauh dari kamu kerana, kau telahpun berkata, aku bukanlah miliki ciri-ciri calon isteri seperti yang kau mahu. Dan pastinya aku tak akan berubah semata-mata kerana itu. Tak mungkin.

"Kau fikir kau siapa
Cinta ini kau buang saja
Ku tak perlukan memori
Dan kau tak perlu kembali
Kau fikir ku apa
Siang malam engkau yang punya
Kau datang dan kau pergi
Kau buat aku begini
Oh lelaki
Tak guna
Ku berikan semua..."

  
               -Lelaki, Yuna

Kau katakan yang pada tahap ini, kau telah dikira wajib untuk berkahwin. Baguslah. Aku berharap kau akan dapat calon isteri yang kau mahukan itu. Lihat saja. Masa sedang berlalu dengan pantas. Lima tahun telahpun berlalu. Sepatutnya tahun depan, tahun keenam adalah tahun kita, kan? Oh. Lupakan saja. Kau pun telah punyai kehidupan yang baik. Seawal 23 tahun, kau dah miliki rumah sendiri, kereta sendiri, kerja yang baik. Baguslah. Kau aturlah hidup kau sebaik-baiknya. Dan walaupun kau ada berkata bahawa; "jika kita punya jodoh bersama kelak, kita mungkin sahaja akan bersatu," tetapi barangkali hati aku bukan lagi untuk engkau. Jangan main tarik tali dengan aku. Aku mohon.

Satu yang aku pinta pada bakal suami aku. Tolong hormati aku sebagai perempuan. Tolong layani aku sebagai seorang yang kamu sayangi dan hormati, dan bukan hanya atas dasar nafsu dan keinginan liarmu. Aku tak mahu diperlakukan begitu. Jangan kamu memaksa aku untuk mengubah diri aku untuk kelihatan cantik dan sempurna di hadapan kamu supaya kamu merasa bangga apabila berjalan beriringan bersama aku. Jangan. Jangan. Jangan. Aku tak akan pernah ingin permainkan perasaan kamu wahai lelaki. Aku cuma mahu kepastian. Kejelasan. Ketegasan. Ini bukan masanya untuk aku bermain-main dalam soal cinta. Aku mencari calon suami. Bukan mencari calon teman lelaki untuk bersuka-suka. Aku mahu serius.

Untuk F,

Berhentilah berkata tentang dia yang tak pernah pun pedulikan kau. Aku ada di sini. Aku yang pernah terluka ada di sini. Aku mengubati luka aku sendiri. Aku tak pernah berubah. Jika kau mahu aku terus berada bersama kau, katakan pada aku, kau ingin serius bersama aku. Katakan pada aku yang cinta itu tidak membodohkan. Katakan juga bahawa cinta itu membahagiakan, menerujakan. Aku cuma tidak mahu berkeliaran bersama lelaki yang tidak pasti hatinya itu milik siapa. Aku tak mahu mencalarkan hati yang mulai sembuh dari luka. Aku mahu kau terus lihat ke mata aku, dan mata kau berkata cinta itu hanya untuk aku. Jangan jadikan aku sebagai sandaran, tempat kau berteduh bila kau perlukan. Aku mahu kau terus bersama aku, menjaga aku, mendidik aku sehingga aku mati kelak. Terimalah aku seadanya. Its now or never. Fikirkan tentang ini.



Dah dua hari aku simpan dan edit draf ini. Maka aku riliskan juga malam ini. Terima kasih, sang pengajaran.



No comments:

Post a Comment