Friday, December 13, 2013

Mimpi

"Bermimpilah, karena Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu."
"Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia"
"Pesimistik tidak lebih daripada sikap takbur mendahului nasib."
"Bermimpilah dalam hidup, jangan hidup dalam mimpi."
“Kita akan bertempur habis-habisan demi mimpi-mimpi itu! Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati.”
— Andrea Hirata, Petikan dari novel Sang Pemimpi

Mimpi.
Satu minggu yang lalu, aku ada karangkan sebuah mimpi dalam buku notaku. Mimpi itu mimpi yang sudah lama ingin aku kecapi. Yang ingin aku terobosi di alam realiti, bukan hanya dalam igau anganku.

Aku bermimpi untuk menjadi seorang tukang masak yang boleh mengendalikan warung kecilnya sendiri. (Barangkali bukan lagi sendiri, hehe, itu cerita dua tahun lalu.) Walaupun kini aku tidak punya apa-apa untuk menjadi seperti itu, aku percaya usahaku pasti akan terlaksana jika Tuhan makbulkan.

Suatu malam, pernah aku mimpi. Mimpi itulah yang membawa misi aku untuk menjadi tukang masak. Dan dalam mimpi itu aku lihat diriku begitu ghairah dengan mini kafenya. Kafe itu, bayangkan; ada sebuah kabin kecil di pintu masuk, boleh muat sehingga empat orang didalamnya. Sejurus masuk ke dalam kedai, akan ada satu sudut bacaan dimana bacaan itu adalah milikku, dan sesetengah daripadanya adalah untuk dijual pada yang berminat. Punya dinding yang bercorak, mempunyai kata-kata hikmat disekelilingnya beserta lukisan-lukisan indah. Sudut bacaan boleh ditukar menjadi tempat untuk busking. Aku juga menjual kraftangan hasil dari tanganku sendiri. Kad ucapan, lukisan kanvas, keychain, dan beberapa hasil jahitan. Oh nampak kan bagaimana aku menjelaskan mini kafe ku? Belum makanannya lagi. Kali ini lagi panjang.

Setiap hari kafeku ini mempunyai menu spesial yang berbeza. Menu yang spesial itu tentunya akan dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan hari yang lain. Aku memilih untuk memasak makanan yang menjadikan perut separa kenyang seperti pasta (yang bermacam-macam jenis), manisan seperti cupcake, buah-buahan, salad, dan kalau rajin aku akan buat pastri. Aroma kafe ini lebih mirip pada bau kopi hitam yang dijerang panas. Baunya menyusup setiap ceruk kafe. Walau bagaimanapun pelanggan tetap boleh minta apa jua makanan yang lain dari yang disebutkan di atas. Tiada salahnya mahu makan mi hongkong telur mata dan nasi goreng pataya. Kalau mahu makan ayam penyet juga boleh! Menu spesial harian dijual set, sekali dengan air dan satu manisan. Harus dimasak dengan sedap, kerana aku mahu pelanggan yang datang kali pertama terus saran pada teman-temannya yang lain. Dan aku juga bayangkan event kecil-kecilan diadakan di kafe ini, mungkin sebagai contoh; parti hari lahir, makan kesyukuran, dan juga event seperti screening juga boleh dimanfaatkan, sambil nonton sambil makan. Enaknya!

Dan mindaku juga sempat menangkap imbasan bahawa teman-teman yang datang ke kafe ini semua gembira dengannya!

Sebenarnya dalam mimpi itu, ada latar belakang lain yang aku tak mengerti kenapa harus wujud. Iaitu kedai arak yang bertentangan dengan mini kafeku. Bosnya yang berbadan gempal itu selalu menggoda aku. Aku hampir menjadi mangsanya, tapi mujur aku tahu bermain dengan kata-kata sehingga dia tewas lalu mengalah. Entah kenapa perlu watak dan latar itu. Biarkan sahaja.

Sekarang aku sangat berasa semangat untuk berniaga kecil-kecilan untuk mendapat pengalaman sendiri, bagaimana penat untuk mengendalikan seharian memasak dan menjual makanan pada orang. Tentang cita-cita untuk menjadi arkitek 10 tahun yang lalu itu aku tangguhkan. Aku merasa semua itu bukan jiwaku. Dan aku tak ingin menurutkan kelaziman untuk melunaskan hati semua pihak. Aku hanya mahu gembira.

Moga aku gembira dengan jalan ini. Amin.



Doakan aku moga aku akan mencapai mimpiku. Dan semoga kita tidak terlalu tamak haloba dalam mengejar mimpi sehingga mengorbankan lainnya.