Wednesday, June 15, 2011

aku, kau dan facebook

aku boleh jamin dan berani untuk katakan, 90% dari golongan belia mempunyai facebook. malah kanak-kanak juga tidak terkecuali. pada dasarnya, facebook adalah "social networking" di mana penggunanya dapat berinteraksi antara satu dengan yang lain melalui dunia maya. pada satu tahap, kita tak dapat nafikan kepentingan facebook itu sendiri walaupun penggunaan yang berlebihan dikhuatiri boleh menyebabkan kelalaian dan mengurangkan prestasi kerja.

hari ini aku nak ceritakan tentang facebook dan pengalaman aku menggunakannya. aku mula mendaftar akaun facebook atas pujukan seorang rakan pada november 2008. ketika itu aku sangatlah teruja sehinggakan sanggup melanggan perkhidmatan internet di telefon bimbit demi menyenangkan aku untuk mengakses facebook. ya. katakan aku jakun. sebab ketika itu aku tidak punya sebarang komputer riba lagi. hanya telefon bimbitlah alat elektronik yang aku miliki.

pada tahun pertama dan kedua menggunakan facebook, aku begitu teruja mencari kawan-kawan lama yang berada di setiap sekolah yang pernah aku bertapak pada suatu masa dahulu. aku berjaya jumpa mereka. ya. itu sangat menyeronokkan. dan perkara paling seronok tentang facebook pada dua tahun pertama itu adalah sebab aku dapat lihat apa yang kawan-kawan lain tulis pada status mereka. dan aku juga dapat tahu cerita-cerita mereka. ya. tetapi percayalah. aku kurang gemar "stalk" gambar orang lain.

lain pula setelah aku memiliki komputer riba. facebook bagaikan makanan harian. setiap hari aku buka untuk mendapatkan maklumat. bukan lagi untuk mengetahui cerita orang lain tetapi hanya untuk mengetahui perkembangan dunia semasa dan hal setempat. aku suka komen status dan pautan. sebagai contoh, kami sebagai pelajar menggunakan facebook group untuk menghebahkan tentang kelas, tugasan, info dan lain-lain. malah untuk mengundi calon menjadi ketua batch juga dilaksanakan melalui facebook. aku selalunya akan membaca pautan yang dikongsi oleh rakan-rakan. 

aku punya penggunaan facebook dalam pie chart


pengalaman

pada satu ketika masa, aku gunakan gambar profil yang bukan memaparkan wajah aku. ketika itu aku tidak lagi sepopular sekarang. (jika mahu dibandingkan la. dan aku memang tak popular pun. sebab aku bukan artis.) aku mula menukar gambar profil dengan gambar sebenar sejak tahun lepas. ya. ketika inilah ramai lelaki-lelaki yang tidak dikenali muncul dan ingin menjadi rakan. mulanya teruja, tetapi teruja itu bertukar menjadi annoying. dan aku pun remove sahaja mereka itu. ya, dan pada masa itu jugalah bilangan kawan mencanak-canak naik. dari 300+ sehingga 700+. akan tetapi, ramai juga kawan-kawan lama yang add. barangkali setelah mereka mengenali dan mengingati aku dengan melihat gambar sebenar.

facebook semakin merapu di mata aku. ya. kebelakangan ini, kelihatan banyak tulisan-tulisan biru diwujudkan. kebanyakkan tulisan itu adalah tagline daripada artis-artis mahupun daripada movie yang popular dan barangkali juga daripada kata-kata pelawak. spam juga banyak disebarkan di facebook.

ini pandangan konservatif aku sahaja. setelah aku mempunyai komputer riba, aku tentunya ada banyak peluang untuk membaca melalui tulisan blog mahupun akhbar online. dan aku juga mula menyuarakan pendapat aku melalui status facebook. ya, itu hanyalah pendapat, dan aku sentiasa membuka kepada sesiapa untuk berkongsi apa sahaja yang mereka mahu suarakan. aku amat menghargai setiap tinta yang kalian tuliskan. tetapi aku dapati bahawa ada yang lebih suka mengutuk pandangan aku di belakang. mengapa tidak berani katakan terus terang sahaja jika tidak bersetuju? facebook juga sudah menjadi tempat kutukan dan penganjingan beramai-ramai. kata-kata kesat dihamburkan. tahukah anda kata-kata anda itu menggambarkan peribadi diri? jangan dibuka keaiban diri sendiri di khalayak. memalukan.

status seperti kentut, berak dan sebagainya tidak perlulah diberitahu kepada orang ramai. kadangkala ada juga pasangan couple yang asyik menukar gambar dan status yang memuji-muji pasangan. semua orang pasti bosan dan meluat. kadangkala kita tidak perlu menghebahkan setiap perbuatan kita. ada perkara yang patut dirahsiakan. jika ditegur, mesti ada seorang dua yang melatah, "ni facebook aku, ikut suka aku la nak buat apa. kau sibuk apa hal?" aku tahu itu facebook kau. sungguh cepat kau melenting ya?

alangkah bagusnya jika facebook digunakan dengan cara yang berhemah dan menjadi medium untuk menyampaikan maklumat berguna. menjadi tempat untuk berdakwah, sumber berita terkini dan menyampaikan isu-isu semasa. facebook juga boleh menjadi medan perdebatan maya. maksud di sini adalah perdebatan yang sihat. alangkah baiknya jika pengguna facebook sedar akan hakikat hidup di dunia ini dan berpijak di bumi yang nyata. terimalah kritikan dengan mendalami pemikiran. bukan hanya menggunakan facebook dengan hanya tujuan tidak berfaedah seperti mengorat perempuan, bergaduh dan sebagainya.

dan kata akhir, gunakanlah facebook itu sebaik-baiknya atau facebook akan menjadi tempat pengumpulan sampah sarap suatu hari nanti.


Saturday, June 11, 2011

ayah

"kakak, cepat naik badan ayah. kita tak boleh lama duduk dekat sini. ayah tak nak kakak jadi mangsa keadaan," jerit ayah kepadaku. aku lantas lari memecut ke arah ayah. ayah, apa permainanmu sebenarnya? apakah ayah mahu bawa kakak jauh dari semua dari yang kakak sayang? ayah, janganlah begini... kakak selesa dengan apa yang kakak ada sekarang.

"ayah, kenapa ayah? kenapa?"

"kalau kakak sayang ayah, jangan banyak soal. cepat kakak. kita dah kesuntukan masa ni!"


aku terus menaiki tunggangan badan ayah. ayah bagaikan kuda dengan mendukungku. walaupun aku telah pun berusia hampir menjangkau 21 tahun, ayah tetap gagah mengusungku. ayah, apa semua ni ayah... kakak memang tak mengerti...


ya... ayah memang berlari laju. seperti ada yang menolak ayah sehinggakan ayah begitu larat untuk berlari sebegini. tiba-tiba aku sampai di sebuah kawasan bukit yang tinggi. ayah perintahkan supaya aku turun dari badannya. aku kata pada ayah yang aku takut. aku gayat. ayah hanya menjawab, "kakak, dalam dunia ni kalau kakak tak cuba, mana kakak akan tahu. cuba kakak turun dulu. ayah pegang tangan kakak. kakak jangan takut ya. ayah ada."

bagaikan kanak-kanak kecil, aku pun turun. kelihatan gaung yang amat dalam. aku bertanya pada ayah, kenapa wujud gaung seperti itu? kenapa kita berada di atas?

ayah terdiam. barangkali memikirkan jawapan yang sesuai untuk anaknya. tapi ayah bertanya padaku, "kakak, cuba kakak duduk sini. kakak tengok bawah tu. bila kakak berada di atas, kakak nampak kan semua yang ada di bawah?" soal ayah kepadaku.

aku menjawab. "iya lah ayah. kakak boleh nampak semua yang ada dibawah tu. tapi orang yang ada dibawah tu boleh nampak ke kakak yang duduk dekat sini?"

"kakak, kalau kakak menuntut ilmu, ibarat kakak berada di atas. kakak boleh nampak mereka semua. kakak tahu semua. sebaliknya jika kakak tiada ilmu. kakak terus berada di tempat yang kelam seperti di bawah sana. kakak tak nampak dunia ni... sebab itulah ayah bawa kakak keluar dari kebiasaan kakak. ayah nak kakak jadi manusia. bukan hanya mengikut telunjuk manusia yang lain," jelas ayah.

hari semakin malam. semakin gelap. aku dan ayah masih berada di tengah hutan belantara yang penuh dengan lereng-lereng bukit curam dan menakutkan. ayah menyuruh aku naik tunggangannya semula. dia kata, dia nak bawa aku jauh dari rumah. dia mahu tunjukkan aku dunia luar.

matahari telahpun melabuhkan tirai cahayanya, dan kini aku dan ayah berada dalam gelap. kedengaran seperti gonggongan anjing dari jauh. anjing itu mungkin mendengar bunyi kaki ayah yang berjalan di dalam hutan. aku dengar langkah anjing itu semakin hampir. aku katakan pada ayah, "ayah, kalau kita mati digigit anjing macam mana? kakak takut. ayah, lebih baik kita lari. selamatkan diri kita dulu!"

ayah mengangguk. lantas dia berlari lagi. lebih laju. demi menyelamatkanku. sambil berlari ayah berkata bahawa musuh di dalam gelap kita tak tahu siapa. mungkin gonggongan itu anjing, tetapi yang bergerak menuju ke arah kita itu bukanlah anjing. kita kena berhati-hati. "baguslah kakak peka dengan bunyi sekeliling. kakak kena ingat, musuh kita bukan yang berbunyi sahaja. malah yang senyap juga boleh menjadi musuh yang dahsyat jika kakak tidak berhati-hati."

terima kasih ayah! semakin dia berlari, semakin perlahan langkahnya. barangkali ayah penat. yalah, sepanjang hari dia berlari dan mendukungku. lalu aku pula mendukungnya. anjing itu semakin jauh. aku gembira. tiba-tiba aku sampai di satu persimpangan. diantara moden dan kuno. diantara jalan kerikil dan jalan lebuhraya. diantara selesa dan tidak. aku cuma terdiam. aku memang tidak tahu selama ini dunia ini ada jalan yang secantik lebuhraya ini. kulihat ayah semakin lemah. aku pun semakin tidak berdaya hendak meneruskan perjalanan. hanya terduduk menantikan bantuan.

datanglah ribuan manusia. aku semakin longlai. mata terpejam dan aku terjaga.

semua ni cuma mimpi.





kenapa aku mimpi pelik sebegini? mungkin aku rindukan ayah, terlalu rindu barangkali... bila ayah nak pulang...kakak rindu ayah...lalu airmataku bercucuran.

Sunday, June 5, 2011

satu pengertian

cerita ni pernah aku postkan untuk ZineSatuMalam. akibat daripada tajuk 'Sahabat' kurang mendapat sambutan, maka aku letak dalam ni aje lah. :)

#truestory


"anis, aku tak tahan ni..."

"kenapa nesa? kau pening kepala ke? nak aku belikan ubat? kejap eh. nanti aku balik dari kiosk aku urutkan kepala kau eh. tunggu tau. sabar..."

"thanks anis...."

nesa hanya memandang dinding dengan seribu telahan tentang penyakitnya. dia masih tidak faham, apa sebenarnya penyakit yang dihidapinya sedangkan semalam dia cuma makan ayam barbeku ketika bercuti di pantai Tanjung Bidara. barangkali ayam tidak cukup masak.

anis pulang dari kiosk. dia menghulurkan panadol, air mineral dan ubat pil chi tek aun.

"aku rasa lah, kau keracunan ni. mungkin juga kau ni mabuk laut. kesian kau... mari sini, aku urutkan kepala kau. mungkin nanti lega sedikit," kata anis sambil menghulurkan minyak cap kapak kepada nesa.

nesa bingkas bangun. dia merasa perutnya terlalu sakit dan memulas. "anis, aku dah tak tahan ni....."

nesa terus berlari ke arah tandas asramanya. nesa menangis kesakitan. sudahlah pula tandas jauh, terpaksa dia berlari laju-laju. yalah. nanti terberak dalam seluar pula...

tetapi, nyata telahan nesa itu menjadi kenyataan. dia cirit birit. tak sampai ke tandas lagi najisnya berciciran sepanjang koridor. alangkah malunya dia. dalam tandas dia menangis lagi. dia malu untuk keluar. tetapi tiba-tiba terdengar suara anis.

"nesa, kau ok ke? weh, kau cirit eh... aku rasa lebih baik kau pergi hospital sebab aku rasa ni bukan kali pertama kau cirit birit. tak apa, nanti aku tolong panggilkan felo," kedengaran sayup2 suara anis dari luar.

keluar sahaja dari tandas, nesa sedang melihat anis sedang mengemop lantai koridor asrama. bayangkanlah betapa banyaknya najis yang tercicir ketika nesa berlari tadi. dua tiga kali anis mop. nesa menangis. dia terlalu terharu. dia tidak menyangka anis akan lakukan kerja-kerja sebegitu untuknya. buat apalah dia bersusah payah bersihkan semua itu. padahal boleh saja anis panggil makcik tukang cuci.

ketika dalam perjalanan ke hospital bersama felo, nesa bertanya kepada anis.

"anis, kenapa kau susah-susah mop tadi, aku seganlah. kesian kat kau penat..."

anis seraya berkata separa berbisik, "iya lah. takkan lah aku nak orang lain yang tolong bersihkan. kau kan kawan aku. aku tak nak nanti orang lain yang bersihkan tu tanya siapa yang buat kotor ni. aku tak mahu kau malu. itu je, nesa..."


inilah pengertian sahabat baginya.