Wednesday, May 1, 2013
pesan seorang teman.
Petang tadi ketika menikmati hidangan sizzling yee mee cendawan dan telur mata, saya berbual dengan seorang teman baik saya. Dia menyapa saya yang ralit bermain twitter. Saya memang tidak perasan akan kehadirannya memandangkan waktu itu mata saya hanya tertumpu pada skrin telefon. Dia baru balik dari perjumpaan kataloging kumpulan heritage saya. Kemudian dia pun duduk di hadapan saya.
Dia bertanyakan tentang kesihatan saya. Saya jawablah bahawa saya baharu sahaja kebah dari demam. Lepas tu, dia sempat kata dalam keadaan separa tegas, kenapa saya minum teh ais? Saya jawab, teh ais ni kurang aisnya, bila aisnya cair nanti tidaklah manis sangatkan. Hehehe. Pandai tak saya mengelak daripada dimarahi dengan kawan baik saya itu. :')
Kemudian kami bercakap tentang kehidupan kami pada hujung minggu lepas. Tiba-tiba dia mengingatkan saya tentang sesuatu; iaitu tentang sebuah cherita yang masih saya tak sempat cheritakan padanya tempoh hari. Saya dengan rasa tenang bercampur berdebar dalam hati, terus mencheritakan apa yang berlaku pada April ini. Ya, saya sengaja menyimpan cherita ini untuk dia. Supaya saya boleh cheritakan semuanya. Tanpa putus-putus.
Pada mulanya dia sudah beli makanan dan bungkus untuk dimakan di biliknya. Tetapi dia batalkan hasratnya. Dia buka bekas makanan itu dan kami pun makan dan bercherita bersama-sama.
Tidak perlulah saya tuliskan butiran perbualan kami disini, kerana saya hanyalah mahu abadikan pesannya kepada saya, dari seorang teman kepada teman baiknya. Kata dia, pertama sekali saya harus jual mahal. Jual mahal bererti saya mestilah tidak menjadi perempuan yang mudah untuk segala-galanya demi lelaki. Saya setuju sangat. Lepas itu, dia kata, jangan buat lebih daripada mesej dan telefon. Kurangkan. Masa ini saya mula rasa malu. Dia menyambung lagi. Katanya, jangan buat apa yang saya buat dulu-dulu tu. Maksudnya saya terlalu asyik. Dia juga berpesan agar tidak meletak harapan terlalu tinggi. Kerana harapan itu selalunya yang memunahkan segala perasaan yang ada. Dia tak mahu lihat saya sedih seperti dulu.
Kemudian sebelum pulang ke bilik masing-masing, saya berkata; yang dia berasal sama seperti negerinya. Dia gembira betul. Siap kata mahu jadi pengapit saya, dan dia dah booking awal-awal lagi. Saya hanya mampu gelak! Yalah, awal lagi kut untuk memperkatakan hal ini. Saya minta padanya, untuk doakan saya agar semua ini akan menjadi kenyataan. Dia kata, dia sentiasa doakan kebahagiaan saya, dan kali ini dia gembira kerana saya telah bangkit dari kesedihan di masa lalu. Saya tersenyum.
Terima kasih teman atas pesanmu itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment